Site Loader
Kota Kinabalu, Sabah
8 Pendapatan Dividen Yang Tidak Dikenakan Cukai Dividen

Perdana Menteri ke-10 dalam pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan pengenaan cukai 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu. Walau bagaimanapun, terdapat 8 pendapatan dividen yang tidak akan dikenakan cukai dividen.

Latar Belakang

Sebelum pembentangan belanjawan tersebut, dividen yang diterima oleh pemegang saham individu biasanya dikecualikan daripada cukai, kerana Malaysia menggunakan sistem single-tier tax system. Di bawah sistem ini, cukai ke atas keuntungan syarikat sudah pun dibayar pada peringkat syarikat, oleh itu dividen yang diagihkan kepada pemegang saham adalah bebas cukai bagi penerima individu.

Ini bermaksud bahawa pemegang saham individu tidak perlu membayar cukai tambahan atas dividen yang mereka terima daripada syarikat yang beroperasi di Malaysia.

Di bawah percukaian baharu, pemegang saham individu yang mendapat pendapatan dividen tahunan bernilai melebihi RM100,000 akan dikenaan cukai sebanyak 2% ke atas pendapatan dividen, selepas mengambil kira pelepasan dan potongan yang dibenarkan.

Pendapatan Dividen Yang tidak Dikenakan Cukai Dividen

Cukai dividen yang dikenakan hanyalah untuk individu yang mempunyai pelaburan di dalam Bursa Malaysia. Walau bagaimanapun di bawah adalah 8 pendapatan dividen yang tidak akan dikenakan cukai.

1. Pendapatan Dividen Daripada Luar Negara

Pendapatan dividen daripada luar negara adalah dividen yang diterima oleh individu atau syarikat di Malaysia daripada pelaburan dalam syarikat di luar negara. Pelabur individu yang menerima dividen dari luar negara tidak dikenakan cukai jika ia dibawa balik ke Malaysia. Walau bagaimanapun, pengecualian cukai ini berkuatkuasa sehingga 2026. Rujukan dibuat pada laman rasmi LHDN dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

2. Pendapatan Dividen Yang Diagihkan Daripada Keuntungan Syarikat Yang Mendapat Taraf Perintis Dan Elaun Pelaburan Semula

Dalam kes ini, syarikat yang memperoleh taraf Perintis atau Elaun Pelaburan Semula tidak dikenakan cukai ke atas keuntungan tertentu mereka. Oleh itu, dividen yang diagihkan kepada pemegang saham daripada keuntungan ini juga dikecualikan daripada cukai bagi penerima. Ini bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dalam sektor-sektor yang disasar dan memberi insentif kepada syarikat untuk melabur semula keuntungan mereka dalam perniagaan.

3. Pendapatan Dividen Yang Dibayar, Dikreditkan Atau Diagihkan Daripada Keuntungan Syarikat Perkapalan (Shipping) Yang Dikecualikan Daripada Cukai

Pendapatan dividen yang dibayar, dikreditkan, atau diagihkan daripada keuntungan syarikat perkapalan yang dikecualikan cukai biasanya dikecualikan daripada cukai bagi penerima. Di Malaysia, syarikat perkapalan boleh menerima pengecualian cukai atas keuntungan tertentu jika memenuhi syarat-syarat tertentu di bawah Akta Cukai Pendapatan.

Apabila keuntungan yang dikecualikan cukai ini diagihkan sebagai dividen kepada pemegang saham, dividen tersebut juga kekal bebas cukai bagi penerima. Pengecualian ini bertujuan untuk menyokong dan mempromosikan industri perkapalan dengan mengurangkan beban cukai bagi syarikat perkapalan dan pemegang saham mereka.

4. Pendapatan Dividen Yang Diagihkan Oleh Koperasi

Pendapatan dividen yang diagihkan oleh koperasi kepada anggotanya biasanya dikecualikan daripada cukai bagi penerima individu. Koperasi yang berdaftar di Malaysia menikmati insentif cukai tertentu, dan dividen yang diagihkan oleh koperasi kepada anggotanya dikecualikan daripada cukai, selagi koperasi tersebut memenuhi syarat-syarat tertentu yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Ini bermaksud anggota koperasi boleh menerima dividen tanpa perlu membayar cukai tambahan ke atas dividen tersebut, menjadikan pelaburan dalam koperasi lebih menarik bagi anggota.

5. Pendapatan Dividen Yang Diisytiharkan Oleh Dana Tertutup

Dana tertutup merujuk kepada dana Unit Amanah. Ini termasuk dana yang ditawarkan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Dividen ini biasanya diagihkan secara berkala (contohnya, suku tahunan atau tahunan) berdasarkan polisi pendapatan dana.

Di Malaysia, terdapat 39 syarikat pengurusan unit amanah yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia beroperasi menawarkan sejumlah 767 dana tertutup.

6. Pendapatan Dividen Yang Diterima Oleh Pemastautin Daripada Entiti Labuan

Pendapatan dividen yang diterima oleh individu daripada entiti Labuan umumnya dikecualikan daripada cukai pendapatan. Ini kerana Labuan merupakan pusat perniagaan antarabangsa dengan rejim cukai istimewa yang bertujuan untuk menarik pelaburan asing.

7. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Kumpulan Wang Persaraan, Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Dividen yang diperolehi daripada KWSP, KWAP dan LTAT adalah dikecualikan daripada dividen.

8. Mana-Mana Pengecualian Yang Telah Diberi Ke Atas Pendapatan Dividen Di Peringkat Pemegang Saham Individu Sepertimana Yang Ditetapkan Oleh Menteri Kewangan.

Pengecualian yang diberikan ke atas pemegang saham individu yang telah ditetapkan oleh Menteri Kewangan. Senarai pencualian boleh dirujuk kepada LHDN.

Kesimpulan

Pengenalan cukai baharu ini hanya memberi kesan terhadap individu yang mempunyai pegangan saham jutaan ringgit. Bagi mereka yang ingin mengembangkan aset mereka, pelaburan dalam dana tertutup boleh dipertimbangkan. Ini kerana dana tersebut melabur dalam pelbagai sektor, diuruskan oleh pengurus dana profesional dan tidak dikenakan cukai dividen dan keuntungan modal.

Penafian
Laman web ini dihasilkan oleh Sabah Wealth Advisor mengandungi pandangan dan pendapat peribadi dan tidak mewakili komunikasi rasmi daripada mana-mana organisasi.

Post Author: Editorial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *