
Terdapat tiga kaedah utama yang digunakan dalam pembahagian harta pusaka umat Islam iaitu faraid, wasiat dan hibah. Dari tiga kaedah tersebut, dua daripadanya memerlukan perancangan semasa pemilik harta masih hidup. Mari kita kupas perbezaan di antara hibah dan wasiat.
1. Kaedah Pelaksanaan
Dari segi pelaksanaannya, hibah harta dibuat semasa pemilik masih hidup, manakala wasiat pula hanya berlaku selepas pemilih harta meninggal dunia.
2. Jumlah Pemberian
Tidak ada had yang ditetapkan dalam pemberian hibah. Walau bagaimana pun, wasiat tidak boleh diberikan melebihi 1/3 dari dari jumlah harta pusaka si mati.
3. Penerima Harta
Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, waris atau bukan waris. Wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris sahaja.
4. Persetujuan Waris
Persetujuan dari waris tidak diperlukan semasa pemberian hibah dilaksanakan. Ia juga tidak diperlukan semasa wasiat dilaksanakan. Walau bagaimana pun, persetujuan waris diperlukan jika pemberian tersebut adalah melebihi 1/3 daripada jumlah harta pusaka.
5. Hukum Pelaksanaan
Kedua-dua kaedah adalah sunat untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, wasiat wajib dilaksanakan jika terdapat tanggungjawab syarie yang perlu dilaksanakan seperti zakat, haji dan hutang-hutang lain dan individu tersebut bimbang harta berkenaan habis jika tidak diwasiatkan.
6. Ijab dan Qabul
Pelaksanaan hibah memerlukan pelaksanaan ijab (penawaran) dan qabul(penerimaan). Perkara yang penting adalah elemen terimaan atau al-qabd berlaku. Hibah menjadi tidak sah jika tidak berlaku penerimaan oleh si penerima. Manakala bagi wasiat pula, hanya memadai dengan ijab daripada si pewasiat sahaja.
7. Pindah Milik
Pindah milik harta boleh berlaku ketika si pemilik harta masih hidup atau selepas meninggal dunia. Manakala wasiat pula, pindah milik hanya boleh dilaksanakan selepas kematian dan apabila kesemua tanggungan dan hutang telah dilunaskan.

Kesimpulan: Merangkai Harta Mengikut Panduan Islam
Dalam merancang pewarisan harta, pemahaman yang baik tentang perbezaan antara hibah dan wasiat dapat membantu individu membuat keputusan yang sejajar dengan prinsip-prinsip syariah. Dengan memahami objektif utama, masa pelaksanaan, dan pengaruh kedua-dua konsep ini, individu dapat merangkai harta mereka mengikut panduan Islam, menyumbang kepada keharmonian dalam pembahagian harta pusaka.
Penafian Laman web ini dihasilkan oleh Sabah Wealth Advisor mengandungi pandangan dan pendapat peribadi dan tidak mewakili komunikasi rasmi daripada mana-mana syarikat.